ARKIB : 27/03/2009
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz
Hashim diheret dalam pertarungan mendebarkan sebelum menewaskan pemain China,
Zhou Wenlong untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India,
semalam.
Hafiz yang mencari keputusan
terbaik di Hyderabad untuk menyelamatkan kariernya menumpaskan Wenlong 21-15,
11-21, 21-16 untuk bertemu pemain muda Indonesia, Andre Kurniawan Tedjono, yang
menewaskan pemain pelapis negara, Chan Kwong Beng 21-18, 21-18 dalam satu lagi
saingan.
Ratu badminton negara, Wong Mew
Choo yang beraksi dalam kejohanan pertamanya selepas tiga bulan berehat akibat
kecederaan lutut, turut mara ke suku akhir, mengetuai dua lagi pemain wanita,
Julia Wong dan Lydia Cheah.
Mew Choo bekerja keras untuk menewaskan
pemain Hong Kong, Mong Kwan Yi 21-11, 14-21, 21-18 untuk bertemu Yu Hirayama
dari Jepun, manakala Julia mudah menewaskan pemain tuan rumah, Ashwini Ponnappa
21-16, 21-6 dan akan berdepan pilihan kedua, Saina Nehwal, juga dari India,
hari ini.
Pemain berusia 19 tahun, Lydia
pula mengetepikan pemain Jepun, Uchida Shizuka 21-23, 21-17, 21-6 untuk bertemu
pencabar dari Singapura, Zhang Beiwen pada suku akhir.
Cabaran Malaysia di suku akhir
kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$120,000 (RM435,00) itu turut diteruskan
Lee Tsuen Seng, Kuan Beng Hong dan pemain pelapis, Tan Chun Seang.
Tsuen Seng menumpaskan rakan
senegara, Muhd. Roslin Hashim 21-8, 21-15 untuk bertemu pemain China yang telah
mengejutkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di pusingan pertama, Chen
Long.
Beng Hong pula bakal berdepan
juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia selepas menewaskan pemain
China, Qiu Yanbo 21-9, 21-19, manakala Chun Seang menumpaskan jaguh tuan rumah,
Anup Sridhar 9-21, 21-19, 21-18 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia,
Tommy Sugiarto.
Malaysia juga mempunyai wakil di
suku akhir beregu campuran apabila pasangan muda, Ong Jien Guo-Chong Sook Chin
menewaskan beregu Singapura, Hendra Wijaya-Li Yujia 14-21, 24-22, 21-17.
Dalam beregu lelaki, Choong Tan
Fook-Lee Wan Wah mengetuai kemaraan lima pasangan negara ke pusingan kedua
bersama Goh Wei Shem-Ong Jien Guo, Hoon Thien How-Lin Woon Fui, Khoo Chung
Chiat-Ong Soon Hock dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5A6ffAH3E
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan