ARKIB : 28/03/2009
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz
Hashim (gambar) mengetuai cabaran empat wakil negara yang layak ke separuh
akhir badminton Terbuka India hari ini.
Pada suku akhir semalam, Hafiz
yang diletakkan sebagai pilihan ke-10 kejohanan menewaskan pilihan kelima dari Indonesia,
Andre Kurniawan Tedjono 21-18 14-21 21-16 dalam masa 52 minit.
Pemain kelahiran Kelantan yang
sudah lama tidak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, berpeluang
mengakhiri kemarau itu jika dapat mengatasi pemain China, Chen Long di separuh
akhir hari ini.
Chen Long yang sebelum ini
menewaskan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di pusingan pertama mara
selepas menewaskan seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng 21-15, 21-8.
Satu lagi separuh akhir akan
mempertemukan pemain Indonesia, Taufik Hidayat dengan rakan senegara, Tommy
Sugiarto yang juga mara selepas menewaskan pemain Malaysia, Kuan Beng Hong dan
Tan Chun Seang.
Dalam pada itu, mengiringi Hafiz
ke separuh akhir ialah pemain perseorangan wanita negara, Julia Wong yang
menewaskan pemain tuan rumah, Saina Nehwal 12-21, 21-13, 21-18 dalam masa 55
minit.
Julia akan bertemu pemain
Singapura, Zhang Bei-wen manakala Pi Hongyan dari Perancis menentang Yu
Hirayama dari Jepun.
Hirayama mara selepas menewaskan
pemain perseorangan nombor satu wanita negara, Wong Mew Choo 21-17, 21-16.
Dua lagi wakil negara yang layak
ke separuh akhir hari ini ialah beregu veteran lelaki, Chong Tan Fook-Lee Wan
Wah dan beregu campuran, Ong Jien Guo-Chong Sook Chin.
Tan Fook-Wan Wah menang ke atas
beregu China Tian Li-Shen Ye 21-13, 21-8 manakala Jien Guo-Sook Chin menang ke
atas beregu Indonesia, Muhammad Rijal-Debby Susanto 21-19, 21-19.
Di separuh akhir nanti, Jien
Guo-Sook Chin akan menentang beregu India, Diju Valiyaveetil-Jwala Gutta
manakala Tan Fook-Wan Wah akan menentang beregu Indonesia, Joko Riyadi-Candra
Wijaya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6kIFBYG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan