Sabtu, 27 Mei 2017

Roslin gagal iringi Hafiz



ARKIB : 02/04/2005

BANGKOK - Muhd. Hafiz Hashim muncul perseorangan tunggal Malaysia beraksi pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand selepas abangnya, Muhd. Roslin Hashim terkandas di suku akhir semalam.

Turut meneruskan cabaran negara pada kejohanan tiga bintang itu adalah beregu veteran, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng dan Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif.

Manakala pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui pula masing-masing tersingkir di suku akhir.

Juara Terbuka Switzerland dan pilihan ketiga, Hafiz hampir pasti mengesahkan tiketnya ke Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, Ogos ini selepas mengetepikan pilihan keenam, Bjoern Joppien dari Jerman 15-9, 15-8 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 35 minit.

Menanti juara Seluruh England 2003 itu, yang beraksi pada separuh akhir ketiganya tahun ini adalah juara Terbuka Jepun, Ronald Susilo dari Singapura. Ronald mara selepas mengejutkan juara dunia dan pilihan kedua, Xia Xuanze dari China 10-15, 15-10, 15-6.

Hasrat untuk melihat pertemuan Hafiz-Roslin di final tidak kesampaian apabila Roslin terpaksa akur kepada juara bertahan dan jaguh tuan rumah, Boonsak Ponsana.

Roslin, 30, yang masih memburu tiket Kejohanan Dunia mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama 15-8, apabila tunduk 11-15, 9-15 pada dua set berikutnya dalam pertarungan yang berlarutan sehingga satu jam 40 minit.

Sementara itu Tan Fook-Choon Eng yang beraksi hambar dalam dua kejohanan terakhir - Seluruh England dan Terbuka Jerman menghidupkan peluang untuk beraksi di Los Angeles selepas menundukkan Tony Gunawan-Howard Bach dari Amerika Syarikat 15-13, 15-11.

Menanti mereka pada separuh akhir adalah pasangan Korea Selatan, Jung Jae-sung-Lee Jae-jin yang mengetepikan Chong Ming-Kien Keat 17-14, 15-13.

Taik Chai-Mohd. Zakry pula akan menentang pilihan pertama, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark selepas mengalahkan satu lagi beregu Korea, Ha Tae-kwon-Han Sang-hoon 15-12, 17-14. Terdahulu, Paaske-Rasmussen menumpaskan Mohd. Fairuzizuan-Woon Fui 15-7, 15-10.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iL0SxbAt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan