Sabtu, 3 Jun 2017

Roslin terkandas, Sairol mara



ARKIB : 09/09/2005

KUALA LUMPUR - Jaguh veteran negara dan juara dua kali, Muhd. Roslin Hashim terkandas pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Asia apabila tunduk kepada pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana di Hyderabad, India, semalam.

Roslin, 30, pilihan kesembilan mempamerkan aksi kurang bermaya terutama di set kedua apabila tunduk 9-15, 1-5.

Bagaimanapun, cabaran perseorangan lelaki Malaysia berjaya diteruskan oleh bekas pemain kebangsaan, Sairol Amar Ayob yang menewaskan Yuichi Ikeda.

Pemain pilihan kelima itu ketinggalan dua kali 6-9, 9-12 dalam set pertama sebelum bangkit menangi 15-12, 15-12.

Sairol, 25, bakal menentang pilihan pertama, Ng Wei dari Hong Kong yang mara selepas menyingkirkan pemain muda negara, Yeoh Kay Bin 15-12, 15-7.

Wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo pula dipaksa berhempas-pulas untuk menewaskan pemain tuan rumah, Sania Nehwal 6-11, 13-10, 11-7 pada pusingan kedua dan akan bertemu Yoshimi Hataya dari Jepun.

Beng Hong menyingkirkan pemain Hong Kong, Yohan Hadikusumo 15-4, 15-5 untuk bertemu pemain remaja Indonesia, Simon Santoso hari ini. Terdahulu dia mengalahkan Balram Thapa dari Nepal 15-6, 15-9.

Tsuen Seng pula menempah pertemuan sukar dengan pemain nombor satu Korea Selatan, Lee Hyun Il selepas mengetepikan Chin Shengming dari Taiwan 15-10, 15-7 di pusingan ketiga.

Sementara itu, ketiga-tiga beregu lelaki negara diketuai oleh Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, juara remaja dunia, Hoon Thien How-Tan Boon Heong dan Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif layak ke pusingan kedua.

Bin Shen-Soon Hock mengalahkan Niluka Karunaratne-Diluka Karunaratne dari Sri Lanka 15-4, 15-6 untuk bertemu Ali Wajid-Zeeshan Omer dari Pakistan.

Thien How-Boon Heong pula mudah menewaskan Balram Thapa-Pashupati Paneru dari 15-2, 15-0 dan akan berdepan beregu Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Riyadi di pusingan kedua, manakala Teik Chai-Zakry akan menentang Ismail Jaseel-V. Diju dari India selepas menumpaskan Nakao Suichi-Kawamae Naoki dari Jepun 15-0, 15-4.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iwqdK8Qw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan