Isnin, 26 Jun 2017

Hafiz, Ismail terus mara



ARKIB : 09/06/2006
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim dan bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman meneruskan cabaran perseorangan Malaysia pada suku akhir badminton Terbuka Singapura semalam.

Bagaimanapun beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tumpas mengejut 12-21, 12-21 kepada pasangan Singapura, Hendry Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya di pusingan kedua.

Cabaran beregu lelaki Malaysia akan diteruskan oleh beregu utamanya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan pasangan muda, Hoon Thien How-Tan Boon Heong.

Malaysia juga mempunyai satu wakil dalam beregu wanita apabila pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui mengalahkan Hwang Yu Mi-Kim Min Jung dari Korea Selatan 21-16, 21-13 untuk bertemu Wei Yili-Zhang Yewen dari China.

Hafiz, 23, yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Filipina minggu lalu mengetepikan jaguh muda Indonesia, Simon Santoso 25-23, 21-15 pada pusingan ketiga.

Pilihan kelima itu, yang terdahulu menundukkan Erwin Kehlhoffner dari Perancis 21-15, 21-14 pada pusingan kedua kini akan bertemu pilihan keempat dari China, Chen Hong.

Ismail, 28, pula diheret beraksi dalam perlawanan tiga set sebelum menyingkirkan pemain India, Chetan Anand 21-18, 11-21, 21-15 di pusingan ketiga. Menantinya hari ini adalah jaguh China, Bao Chunlai.

Sementara itu Chong Ming-Kien Keat berhempas pulas sebelum mengetepikan kombinasi baru Indonesia, Rian Sukmawan-Eng Hian 16-21, 21-18, 21-13 untuk berdepan satu lagi beregu Indonesia, Flandy Limpele-Sigit Budiarto, hari ini.

Bekas juara remaja dunia, Hoon Thien How-Tan Boon Heong pula akan menentang Jonas Rasmussen-Peter Steffensen dari Denmark selepas meraih kemenangan percuma ke atas pilihan kelima, Xie Zhongbo-Quo Zhendong dari China.

Naib juara Terbuka Filipina, Mohd. Roslin Hashim terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas tumpas 11-21, 15-21 kepada jaguh Denmark, Kenneth Jonassen di pusingan kedua.

Turut tersingkir adalah tiga pemain muda negara. Law Yew Thien kalah 14-21, 16-21 kepada Eric Pang dari Belanda, Tan Chun Seang tumpas 21-23, 10-21 kepada Tien Minh Nguyen dari Vietnam, manakala Lim tewas 11-21, 12-21 kepada Chen Yu dari China.

Cabaran perseorangan wanita pula berakhir selepas Julia Wong kalah 21-15, 15-21, 20-21 kepada Kanako Yonekura dari Jepun, manakala Ooi Sock Ai-Fong Chew Yen tewas 15-21, 15-21 kepada Brita Andersen-Mette Schjoldager dari Denmark dalam beregu wanita.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4lAawsxZ8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan