ARKIB : 27/02/2005
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Pemain badminton
negara, Mohd. Roslin Hashim menganggap kedudukannya untuk beraksi pada
Kejohanan Dunia di Los Angeles, Ogos ini masih belum selamat dan dia perlu
menggunakan tiga kejohanan di Eropah bulan depan untuk mengukuhkan tempat.
Walaupun ketua jurulatih, Yap
Kim Hock memberi jaminan bahawa tumpuan akan diberi kepada Roslin, Lee Chong
Wei, Wong Choong Hann, Muhd. Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong untuk membantu
mereka melayakkan diri ke kejohanan 15-21 Ogos itu, namun tiada pemain yang
sudah selamat sehingga kelayakan ditutup, hujung April ini.
Kecuali Beng Hong (ranking 28
dunia), Chong Wei (8), Choong Hann (11), Roslin (16) dan Hafiz (18) berada pada
kedudukan yang agak selesa untuk beraksi kerana tiga tiket automatik akan
diberi kepada setiap negara yang memiliki tiga atau lebih pemain pada kedudukan
24 terbaik dunia.
Kuota empat tiket automatik
pula diberikan kepada setiap negara yang memiliki empat atau lebih pemain pada
kedudukan lapan teratas dunia, sama ada dalam perseorangan atau beregu.
``Kalau melihat kepada
kedudukan sekarang (ranking ke-16 dunia), ia masih belum selamat. Apa saja
boleh berlaku dalam tempoh kelayakan dan tidak mustahil ranking saya boleh
jatuh,'' kata Roslin.
``Mungkin saya akan berasa
lebih lega kalau berada di kedudukan Lee Chong Wei (kelapan dunia) kerana ia
lebih selamat, berbanding ranking saya sendiri.
``Jadi apa yang penting untuk
saya lakukan ketika ini adalah mencatatkan keputusan yang konsisten dan
melangkah ke peringkat terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.''
Malah Roslin juga menegaskan,
perhatian harus diberi kepada pemain yang tidak berada dalam ranking pilihan
kerana mereka mampu menjadi ancaman tidak diduga pada saat-saat akhir.
Roslin, 30, menyertai
pemain-pemain kebangsaan lain beraksi pada Terbuka Jerman (bermula esok),
Seluruh England (9-13 Mac) dan Terbuka Switzerland pada 16-20 Mac.
Katanya, walaupun tidak
menetapkan sasaran juara, namun ketiga-tiga kejohanan itu bagaikan perlawanan
kalah mati buatnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iAhvMaAK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan