ARKIB : 12/03/2005
MUHD. Roslin Hashim (kanan)
mengucapkan tahniah kepada Peter Gade-Christensen ketika kalah kepada pemain
Denmark itu pada suku akhir Seluruh England tahun lalu tetapi semalam, dia
menyingkirkan Gade di pusingan ketiga untuk mara ke suku akhir pada kejohanan
yang sama.
BIRMINGHAM, England - Muhd.
Roslin Hashim melakar kejutan terbesar pada kejohanan badminton Seluruh England
selepas menundukkan pemain nombor dua dunia, Peter Gade-Christensen, malangnya,
Muhd. Hafiz Hashim pula menjadi mangsa satu lagi kejutan apabila tewas kepada
pemain Jepun, Shoji Sato, semalam.
Malaysia sudah mengesahkan
sekurang-kurangnya satu tiket separuh akhir selepas Roslin menempah pertemuan
dengan Lee Chong Wei di suku akhir dan cabaran negara juga akan dipikul naib
juara dunia, Wong Choong Hann serta beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Beregu lelaki pula terus hambar
apabila ketiga-tiga pasangan Malaysia, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng, Chan
Chong Ming-Koo Kien Keat dan Ong Soon Hock-Tan Bin Shen terkeluar daripada
ke-johanan berusia 106 tahun ini.
Turut gagal meneruskan saingan
adalah Sairul Amar Ayob dan wakil tunggal perseorangan wanita, Wong Mew Choo,
selain beregu wanita, Mooi Hing Yau-Ooi Sock Ai.
Roslin, 30, antara perseorangan
negara paling konsisten tetapi tidak tersenarai dalam skuad Projek 2006-2008
mengheret juara Eropah, Gade beraksi dalam perlawanan dramatik yang berlangsung
selama 118 minit sebelum menang 9-15, 17-15, 15-12.
Kemenangan tersebut
menemukannya dengan pemain nombor satu negara dan pilihan kelapan, Chong Wei
yang menyingkirkan rakan senegara, Kuan Beng Hong 15-12, 15-3 dalam satu lagi
perlawanan pusingan ketiga.
Semalam, Roslin menunjukkan
semangat juang yang tinggi apabila mengejar daripada kekalahan 9-15 pada set
pertama, diikuti ketinggalan 13-14 di set kedua.
Roslin yang jelas lebih mantap
secara fizikal berbanding Gade menggunakan kelebihan itu dengan bermain rali
panjang dan stroke untuk mendahului 11-9 dan 13-10 di set penentuan, sebelum
menang 15-12.
Sementara itu Hafiz yang
diletakkan harapan untuk merampas kembali kejuaraan yang dimenangi pada 2003 kalah
mengejut 2-15, 12-15 kepada pemain sedang meningkat, Sato.
Ini adalah kejutan besar kedua
yang dilakar pemain Jepun itu selepas menyingkirkan pemain nombor tiga dunia,
Kenneth Jonassen dari Denmark di pusingan kedua. Sato akan berdepan Choong Hann
di suku akhir.
Choong Hann yang masih memburu
kejuaraan antarabangsa pertama sejak menjuarai Terbuka China pada 2003 mara
selepas menewaskan Liao Sheng-shiun dari Taiwan 15-8, 15-2.
Nasib masih tidak menyebelahi
anak-anak buah Yap Kim Hock apabila ketiga-tiga beregunya gagal melangkah ke
suku akhir, bermula dengan kekalahan Tan Fook-Choon Eng kepada beregu nombor
tiga dunia, Cai Yun-Fu Haifeng 8-15, 7-15 di pusingan kedua.
Chong Ming-Kien Keat pula tewas
kepada Han Sang-hoon-Hwang Ji-man dari Korea 11-15, 15-9, 11-15 juga di
pusingan kedua, manakala Soon Hock-Bin Shen kalah 6-15, 3-15 kepada juara
bertahan, Jens Erikssen-Martin Lundgaard Hansen dari Denmark di pusingan
ketiga.
Pei Tty-Eei Hui menempah
pertemuan suku akhir dengan beregu nombor dua dunia, Wei Yili-Zhao Tingting
dari China selepas menumpaskan Aki Akao-Tomomi Matsuda dari Jepun 15-10, 15-5.
Sementara itu, cabaran Sairul
berakhir dengan kekalahan 10-15, 15-10, 4-15 kepada Lee Hyun Il dari Korea, Mew
Choo pula tewas 7-11, 12-13 kepada pemain nombor satu dunia, Zhang Ning dari
China, manakala Hing Yau-Sock Ai tumpas 2-15, 0-15 kepada pasangan nombor satu
dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen dari China.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iGxL5AUD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan