Sabtu, 6 Mei 2017

Hafiz, Roslin sandarkan di Korea

ARKIB : 12/01/2005
BEKAS juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan abangnya, Muhd. Roslin Hashim menjadi sandaran utama Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Korea, 25-30 Januari ini kerana sebahagian besar pasukan negara dibarisi pemain pelapis.
Walaupun bertaraf enam bintang dan menawarkan AS$250,000 (RM950,000) namun Malaysia merehatkan dua perseorangan utamanya, Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann serta beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Choong Tan Fook-Chew Choon Eng.
Sebaliknya, naib juara Terbuka Taiwan dan Satelit Asia Singapura, Kuan Beng Hong, pemain remaja, Pei Wei Chung serta bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar Ayob akan menyertai Hafiz dan Roslin.
Manakala, cabaran beregu lelaki pula akan dipikul pasangan muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui dan Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latifi.
Beregu nombor lapan dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei pula akan menerajui saingan beregu wanita bersama Fong Chew Yen-See Phui Leng dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau.
``Memandangkan Seluruh England (8-13 Mac) akan berlangsung dalam tempoh yang dekat, saya rasa lebih baik pemain senior memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi kejohanan itu,'' kata jurulatih negara, Misbun Sidek.
``Begitupun saya tetap percaya barisan pemain yang disenaraikan ke Korea juga memiliki keupayaan untuk mencipta kemenangan, terutama pemain berpengalaman seperti Hafiz dan Roslin.''
Malaysia bagaimanapun dijangka menghantar barisan terbaiknya pada Terbuka Jepun (5-10 April), Terbuka Singapura dan Indonesia (Jun) sebelum menghadapi Terbuka Malaysia (Julai) dan Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, 15-21 Ogos.
PERSEORANGAN LELAKI: Mohd. Roslin Hashim, Muhd. Hafiz Hashim, Kuan Beng Hong, Mohd. Sairul Amar Ayob, Pei Wei Chung
BEREGU LELAKI: Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latifi
PERSEORANGAN WANITA: M. Sutheaswari
BEREGU WANITA: Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Fong Chew Yen-See Phui Leng, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan