Jumaat, 29 September 2017

BAM senarai Roslin - Kejohanan Badminton Dunia 2007



ARKIB : 18/05/2007
 Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

ROSLIN HASHIM.

KUALA LUMPUR – Hajat Mohd. Roslin Hashim (gambar) untuk beraksi pada Kejohanan Dunia terkabul semalam, apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan namanya sebagai perseorangan keempat menerusi tiket wild card.

Turut mendapat tempat pada kejohanan di Stadium Putra, Bukit Jalil 13-19 Ogos itu adalah Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif, yang mendapat kepercayaan kerana muncul naib juara beregu Terbuka Indonesia. Pasangan muda itu juga beraksi dengan tiket wild card.

Selaku tuan rumah, Malaysia diberikan satu tiket wild card untuk setiap acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

Seperti diduga, juara Terbuka Indonesia, Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng mengisi tiga lagi tempat dalam perseorangan lelaki.

Dua pasangan terbaik negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mengetuai cabaran beregu lelaki.

Walaupun penyenaraian Roslin mampu menjernihkan hubungan tegang dengan BAM, namun badan badminton negara itu menegaskan bahawa pemilihan Roslin tiada kena mengenai dengan kontroversi pemain itu.

Ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock berkata, Roslin disenaraikan kerana posisinya sebagai pemain nombor empat Malaysia ketika ini, iaitu berdasarkan ranking dunia, selain mengambil kira rekod dan prestasi semasa.

Tegasnya lagi, tiada siapa boleh menafikan bahawa prestasi pemain Nusa Mahsuri itu ketika ini lebih meyakinkan berbanding tiga pencabar terdekat, Wong Choong Hann, Sairol Amar Ayob atau Yeoh Kay Bin.

‘‘Roslin dipilih bukan kerana kami memenuhi tuntutan ganti ruginya terhadap BAM, ia tiada kena mengena langsung.

‘‘Faktor utama dia dipilih kerana.. pertama, mengikut ranking dunia dia adalah pemain nombor empat negara ketika ini, kedua prestasi semasa meletakkan dia sebagai pemain terbaik selepas Chong Wei dan Hafiz, ketiga dia memiliki rekod baik ke atas pemain-pemain utama dari China.

‘‘Roslin pernah mengalahkan pemain utama seperti Chen Yu, Boonsak (Ponsana) dan Bao Chunlai, jadi dia mempunyai prospek yang baik untuk melangkah ke perlawanan akhir. Kita hanya pilih pemain yang ada potensi,’’ kata Kim Hock.

Chong Wei yang mempamerkan kebangkitan di Indonesia minggu lalu kini menduduki ranking keenam dunia, diikuti Hafiz (9), Tsuen Seng (16) dan Roslin 19.

Choong Hann yang mengalami kemerosotan ranking sejak kembali daripada kecederaan kaki berada di kedudukan 35 dunia manakala Sairul dan Kay Bin masing-masing ranking 22 dan 23.

Sementara itu, BAM masih berharap senarai pemain Malaysia pada Kejohanan Dunia mampu bertambah apabila senarai fasa kedua diumum Persekutuan Badminton Dunia (BWF), 25 Mei ini.

Menurut Kim Hock, satu lagi pasangan muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, yang kini menduduki ranking ke-14 dunia masih berpeluang untuk meraih tiket automatik.

‘‘Senarai pemain yang diumumkan hari ini tidak akan ada perubahan, kecuali penambahan pemain jika Bin Shen-Soon Hock dapat menempatkan diri dalam ranking selepas 25 Mei ini.

Naib juara Terbuka Malaysia, Wong Mew Choo dan juara kebangsaan, Julia Wong mengisi slot perseorangan wanita bersama Lydia Cheah yang diberi tiket wild card.

Pemenang pingat gangsa tahun lalu, Kien Keat-Wong Pei Tty tidak disenaraikan dalam beregu campuran kali ini kerana jurulatih mahu mereka memberi tumpuan kepada acara utama.

Cabaran beregu campuran kini dipikul pemain KLRC, Joanne Quay yang berganding dengan pemain New Zealand, Daniel Shirley manakala pemain pelapis, Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei mendapat tiket wild card.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u4jxULzN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 24 September 2017

Roslin tuntut ganti rugi - RM70,000 antara 5 syarat selesai luar mahkamah



 
ARKIB : 05/05/2007
Roslin tuntut ganti rugi - RM70,000 antara 5 syarat selesai luar mahkamah
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
ELYAS Omar (kiri) bersalaman dengan Muhd. Roslin Hashim sambil diperhatikan oleh Jailani Sidek pada pertemuan di pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Slot ke Kejohanan Dunia, 13-19 Ogos ini dan ganti rugi RM70,000 antara lima perkara yang dituntut jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai syarat menyelesaikan kemelut di luar mahkamah.

Tiga lagi tuntutan Roslin ialah sejumlah RM32,600 yang akan diperoleh sekiranya menjuarai Terbuka Singapura dan Indonesia, bonus RM5,000 yang akan diberi oleh Nusa Mahsuri jika muncul juara kedua-dua kejohanan itu dan ketiga, mahu BAM membiayai perbelanjaannya pada kejohanan yang memberi mata kelayakan ke Sukan Olimpik Beijing 2008.

Roslin, 32, bersetuju menangguhkan hasrat mengheret BAM ke muka pengadilan sekiranya badan itu bersetuju mempertimbangkan beberapa tuntutan.

Tuntutan tersebut dikemukakan menerusi Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar dalam pertemuan hampir sejam di pejabatnya di Bukit Jalil, semalam.

Bagi Roslin, apa yang diminta tidak keterlaluan dengan mengambil kira kerugian yang dialami, bukan saja dari segi pendapatan tetapi laluan yang semakin sukar untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik 2008, selain gangguan emosi.

“Saya percaya ia adalah tuntutan yang wajar selepas mengambil kira kerugian dan kesan yang saya alami akibat tidak bertanding pada Terbuka Singapura dan Indonesia.

“Saya bukan saja hilang sumber pendapatan kerana dikenakan penalti oleh penaja, malah berdepan laluan yang sukar untuk layak ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, jadi mereka (BAM) harus bertanggungjawab di atas kecuaian yang telah memberi masalah kepada saya,’’ kata Roslin ketika ditemui di Bukit Jalil, semalam.

Menjelaskan secara terperinci tentang lima tuntutannya, Roslin berkata, jumlah RM70,000 diminta daripada BAM adalah jumlah penalti yang dikenakan penajanya, Yonex kerana tidak bertanding dalam dua kejohanan Siri Super tanpa alasan kukuh.

“Mengikuti perjanjian, penajaan saya akan dipotong sebanyak 10 peratus sekiranya tidak beraksi dalam sesuatu kejohanan tanpa alasan kukuh seperti kecederaan.

“Kerana tidak bertanding di Singapura dan Indonesia, penajaan saya dipotong 20 peratus iaitu RM70,000. Badminton adalah pendapatan saya, jadi saya harap anda faham,’’ katanya.

Bagaimanapun, Roslin mengakui, dia terlalu mengikut emosi ketika bertindak meluru mahu menyaman BAM tanpa merujuk kepada saluran lain seperti Pesuruhjaya Sukan dan mujurlah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said memintanya berjumpa Elyas.

Katanya, hasil perjumpaan semalam sangat positif dan Elyas berjanji akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin dan menjadi orang tengah.

Tegas Roslin lagi, meskipun dia bersedia untuk menerima apa jua keputusan , namun dia tidak menolak mengheret kembali isu ini ke mula pengadilan andai penamatnya tidak seperti diharapkan.

Pertemuan Roslin dengan Pesuruhjaya Sukan, semalam turut ditemani Presiden Nusa Mahsuri, Jalani Sidek.

Sementara itu, Elyas berkata, beliau akan cuba menyelesaikan isu Roslin selewat-lewatnya dua minggu dan akan memanggil kedua-dua pihak sekali lagi.

Katanya, tindakan Roslin merujuk perkara ini kepada beliau adalah tepat kerana jika ia menjadi kes mahkamah, tiada siapa dapat masuk campur, malah mungkin akan berlarutan lebih lama.

“Selain Roslin, BAM juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan saya harap kami dapat menemui penyelesaian yang sebaiknya buat kedua-dua pihak tanpa perlu dipanjangkan ke mahkamah,’’ kata Elyas.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tZdtUvAs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

Saya mahu keadilan – Roslin



ARKIB : 29/04/2007

Mukadimah
TINDAKAN pemain badminton perseorangan negara, Mohd. Roslin Hashim mahu mengheret Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke mahkamah benar-benar mengejutkan peminat sukan tanah air.

Kemarahan Roslin tidak dapat dibendung apabila namanya tidak disenaraikan dalam skuad yang akan menyertai Kejohanan Siri Super iaitu di Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia, Mei ini.

Bagi Roslin, selain mahu mengharumkan nama negara, badminton juga adalah periuk nasinya.

Lebih memeranjatkan, Roslin mendedahkan ini bukan kejadian pertama. Ia pernah terjadi di Terbuka China tahun lalu dan namanya juga sekali lagi tercicir pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Apakah yang sebenarnya berlaku dan mengapa, wartawan Mingguan Malaysia, NORZIE MOHD. KHASBI menemubual Roslin untuk mengetahui isi hatinya tentang isu ini.

MINGGUAN: Apa khabar Roslin, bagaimanakah perasaan Roslin ketika ini? Masih marah?

ROSLIN: Saya baik. Masih meneruskan latihan seperti biasa bersama Misbun dan Rashid Sidek. Saya tidak marah, cuma geram. Ialah, kalau awak bekerja untuk mencari nafkah, saya pula bermain badminton untuk menampung kehidupan, jadi ini periuk nasi saya.

MINGGUAN: BAM sudah meminta maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan mereka, jadi tidak adakah jalan lain untuk selesaikan perkara ini.

ROSLIN: Kalau sekali saya boleh berkompromi, seperti di Terbuka China tahun lalu dan kemudian Terbuka Malaysia. Tetapi sekarang, ia berlaku lagi. Kalau saya hanya duduk diam, tidak mustahil ia boleh berlaku lagi.

MINGGUAN: Anda ada mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Roslin Hashim, siapakah dalang konspirasi itu dan apa untungnya kalau Roslin jatuh?

ROSLIN: Saya tidak mahu menyebut nama individu tertentu saya cuma percaya ada yang tidak kena berlaku kerana perkara ini hanya berlaku ke atas diri saya. Keuntungan? Untuk menaikkan pemain tertentu kerana jika saya tidak bertanding maka ranking saya akan jatuh dan pemain-pemain ini akan naik secara automatik.

MINGGUAN: Siapakah pemain itu?

ROSLIN: Saya tidak mahu sebut, anda boleh andaikan sendiri. Saya hanya mahukan layanan yang adil, bukan sahaja untuk saya tetapi juga pemain kelab yang lain, termasuk rakan-rakan dari KLRC (Kelab Raket Kuala Lumpur).

MINGGUAN: Layanan selama ini tidak adil?

ROSLIN: Sistem pemilihan kurang efisen. Apa yang saya perhatikan, kita selama ini terlalu berharap kepada pemain yang sama untuk beraksi dalam kejohanan utama dengan alasan mereka adalah pemain terbaik.

Asyik kalah dalam perlawanan yang tidak sepatutnya, memang tidak kompetitif tetapi tetap diberi kepercayaan. Mengapa tidak direhatkan mereka ini dan beri peluang kepada pemain lain.

MINGGUAN: Siapa pemain yang Roslin nampak boleh diketengahkan. Maaf kalau saya kata kita memang tidak mempunyai banyak pilihan dalam memilih pemain perseorangan ketika ini.

ROSLIN: Saya tidak kata “menggantikan” secara tetap, sekurang-kurangnya rehatkan mereka yang sudah “kurang selera” ini untuk satu tempoh, jadi apabila sudah lama tidak beraksi pasti timbul keghairahan hendak bermain dan itu situasi yang sihat. Pemain kelab juga wajar diberikan peluang kerana mereka menunjukkan permainan yang baik.

Saya juga percaya pemain muda harus lebih diketengahkan, begitu juga pemain pelapis, sekarang adalah masa terbaik untuk mendedahkan mereka kepada cabaran antarabangsa.

MINGGUAN: Maksud Roslin, kita tidak cukup berani mengambil risiko mengetepikan pemain yang tidak kompetitif untuk beri laluan kepada muka baru?

ROSLIN: Begitulah. Saya amat mengagumi keberanian Rexy Mainaky (jurulatih beregu). Dia gugurkan beregu senior pada Sukan Asia dan ambil risiko turunkan pemain muda, lihat apa hasilnya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara.

Kemudian dia pecah gandingan lama dan mempelbagaikan kombinasi, ini risiko. Kalau kita tak beri peluang kepada pemain lain atau cuba sesuatu yang baru, macam mana kita nak cungkil kemampuan mereka?

MINGGUAN: Apakah harapan Roslin sekarang selepas peluang untuk beraksi pada Kejohanan Dunia nampak semakin sukar?

ROSLIN: Peluang memang tipis apabila saya tidak beraksi dalam tiga kejohanan Siri Super kerana ia memberi mata yang besar. Begitupun, saya tidak berputus asa dan akan bertanding pada kejohanan yang lebih kecil untuk menyelamatkan ranking setakat termampu.

Jika terlepas Kejohanan Dunia, saya cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2008. Harap, saya juga dapat merebut tempat ke Piala Thomas tahun depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tYZbYORa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan tutup periuk nasi saya – Roslin Hashim



ARKIB : 24/04/2007

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan negara, Muhd. Roslin Hashim berharap dia tidak akan “disenarai hitamkan” oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya kerana ketegasannya mengheret badan badminton negara itu ke muka pengadilan.

Semalam, Roslin mengesahkan bahawa dia sudahpun mendapatkan khidmat peguam untuk membawa kes BAM ke mahkamah dalam masa terdekat.

Menurut Roslin, biarpun kemarahannya sudah reda berbanding pada hari pertama mendapat tahu namanya tercicir pada Terbuka Singapura dan Indonesia, namun dia tetap dengan pendirian bahawa badan badminton negara itu perlu diberi pengajaran.

Begitupun Roslin percaya, sekiranya sikap profesional mengatasi sentimen atau emosi dalam menangani kes ini, dia tidak sepatutnya “disenarai hitamkan” untuk mewakili negara pada kejohanan utama di masa akan datang.

“Saya percaya sikap profesional harus mengatasi sentimen demi kepentingan badminton negara. Maksud saya, kalau saya betul-betul berada pada prestasi yang baik ketika itu tetapi tidak dipilih kerana mempunyai kisah atau latar belakang yang tidak disenangi.. itu tidak betul.

“Ada juga orang yang bertanya kepada saya, apakah saya tidak bimbang kalau saya mengambil tindakan ke atas BAM maka peluang saya hendak mewakili negara di masa akan datang tipis ? Saya jawab, saya tidak takut kerana saya di pihak yang benar.

“Saya percaya jika BAM telus dengan sistem pemilihan mereka dan memberi peluang kepada pemain yang selayaknya, maka unsur pilih kasih atau berat sebelah tidak akan timbul.

“Saya tidak bercakap mewakili diri sendiri. Pada saya, mana-mana pemain sekali pun wajar diberi peluang sama adil untuk mewakili negara kalau terbukti prestasinya lebih baik daripada pemain lain ketika itu, tidak kira sama ada dia bermain untuk pasukan kebangsaan atau kelab,’’ kata Roslin.

Selain tiket Kejohanan Dunia (13-19 Ogos) menjadi perebutan, dua kejohanan utama yang akan berlangsung tahun ini ialah Piala Sudirman (11-17 Jun) dan Sukan SEA di Korat, 6-15 Disember.

Jadual kejohanan tahun depan pula lebih padat dengan Piala Thomas membuka tirai di Jakarta pada diikuti Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Beijing dari 8-24 Ogos, 2008.

Meskipun mengakui peluang untuk beraksi di Kejohanan Dunia semakin tipis setelah terlepas tiga pertandingan Siri Super - Terbuka Malaysia, Singapura dan Indonesia, Roslin menegaskan, dia masih cuba sedaya upaya untuk melayakkan diri.

Justeru, pemain Nusa Mahsuri berusia 32 tahun itu mencari alternatif lain dengan menyertai tiga kejohanan yang lebih kecil - Terbuka New Zealand, Satelit Vietnam dan Satelit Singapura bagi memastikan ranking dunianya (18) tidak merudum.

Satu-satunya kejohanan Siri Super yang tinggal untuk disertai oleh Roslin sebelum kelayakan Kejohanan Dunia ditutup adalah Siri Super China di Guangzhou, 10-15 Julai.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tXzIWzmS
© Utusan Melayu (M) Bhd