Khamis, 21 Disember 2017

Penceraian tidak jejas hajat

ARKIB : 21/02/2009
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Muhd. Roslin Hashim tidak akan membenarkan penceraiannya merosakkan hajat besar untuk menutup karier badminton dengan sekurang-sekurangnya satu kejuaraan, tahun ini.

Walaupun tidak menyatakan kejohanan manakah yang amat diinginkan, namun pemain Nusa Mahsuri itu berkata, dia mahu menutup kalendar 2009 dengan satu gelaran yang akan dikenang sebelum menggantung raket.

Roslin, 34, mengumumkan hasrat untuk bersara pada hujung tahun ini selepas majlis persandingannya di Puchong, 1 Februari lalu.

Meskipun tumpuannya ketika ini terganggu dengan kisah penceraiannya yang sudah diketahui oleh umum, apatah lagi ketika usia perkahwinan baru mencecah 12 hari, namun Roslin berkata, keadaan itu tidak akan memberi tekanan.

"Saya tidak rasa tertekan atau malu kerana semua orang sudah tahu kisah rumah tangga saya, sebaliknya saya rasa lega kerana semua masalah sudah selesai dengan baik.

"Saya tidak anggap ia (perkahwinan) satu kesilapan, sebaliknya saya terima qada dan qadar, mungkin sampai di sini saja jodoh saya, dan hidup kena diteruskan.

"Badminton adalah periuk nasi saya, walau apa sekali pun masalah yang saya hadapi, saya tidak boleh mensia-siakan periuk nasi saya, apatah lagi 2009 merupakan tahun terakhir saya sebagai pemain badminton.

"Saya akan bersara pada akhir tahun ini dan jadi saya mahu menutup karier dengan satu kejayaan yang akan dikenang, tidak kiralah ia kejohanan besar atau kecil, saya mahu sekurang-kurangnya satu kejuaraan,'' ujar bekas juara Terbuka Jepun itu.

Roslin, yang menghuni ranking ke-49 dunia melafazkan cerai ke atas isterinya, Faizah Mohamad pada 11 Februari lalu, hanya 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari.

Begitupun dia enggan kisah peribadinya terus diperkatakan, sebaliknya meminta agar tumpuan diberikan kepada karier badminton dan persiapan menghadapi Terbuka India pada 24-29 Mac ini.

"Dengan keadaan sekarang ini, bagus juga saya tidak bertanding pada Seluruh England (3-8 Mac) dan Terbuka Switzerland (10-16 Mac), sekurang-kurangnya saya ada lebih banyak masa untuk persiapan Terbuka India.

"Sebenarnya saya tarik diri pada kedua-dua kejohanan bukan kerana masalah peribadi, cuma saya kurang bersedia daripada segi fizikal. Maklumlah, sejak beberapa bulan ini latihan tidak cukup kerana saya sibuk dengan urusan perkahwinan.

"Tetapi sekarang, bila jadi benda macam ini, saya fikir elok jugalah saya tidak pergi ke sana, fikiran saya mungkin belum stabil tetapi percayalah saya akan bangkit dan mencari keputusan terbaik di India serta kejohanan seterusnya,'' katanya lagi, yang bercadang menjadi jurulatih selepas persaraan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51unYrAbT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

Roslin belum mahu bersara

ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Walaupun tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam, namun jaguh veteran negara, Muhd. Roslin Hashim (gambar) menegaskan persaraan tidak terlintas di fikiran, malah menganggap kehidupan barunya akan bermula pada 2009.

Semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu tewas 17-21, 14-21 kepada pemain India, Anup Sridhar pada perlawanan pertamanya selepas berehat panjang selama empat bulan.

Roslin yang baru kembali daripada menunaikan ibadah haji bagaimanapun menegaskan, kekalahan itu tidak membimbangkan kerana dia sememangnya sedar keadaan fizikalnya kurang bersedia.

Lagipun, fikirannya kini turut tertumpu kepada persiapan menghadapi hari bahagia kerana bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya pada akhir bulan ini.

"Pergerakan saya agak perlahan hari ini kerana baru kembali beraksi selepas berehat panjang, lagipun permainan saya juga sedikit terganggu dengan kesakitan pinggul kanan.

"Mengikut jadual saya akan bertanding pada Terbuka Korea minggu depan tetapi sekarang saya kena dapatkan dulu pandangan dari doktor. Saya kena melakukan rawatan sebelum tahu keadaan sebenar.

"Memang sedih kerana terpaksa memulakan tahun baru dengan kekalahan seperti ini, tetapi saya tidak bimbang kerana perjalanan 2009 masih panjang dan saya tahu fizikal saya masih mampu memberi cabaran yang kompetitif," kata Roslin.

Kata Roslin lagi, kekalahan kepada Anup tidak langsung mendorongnya untuk memikirkan soal persaraan, sebaliknya dia tetap bersemangat untuk mencari kejuaraan pertama sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Vietnam, dua tahun lalu.

Malah tegas Roslin, sudah terlalu lama dia tidak menggenggam kejuaraan besar sejak muncul juara Terbuka Jepun pada 2001, kemenangan yang turut membawa gelaran pemain nombor satu dunia kepadanya ketika itu.

Ketika ditanya apakah perkahwinan bakal menyemarakkan lagi karier badmintonnya, Roslin berkata: "Ia akan memberi kehidupan baru kepada saya, satu tanggungjawab yang baru tetapi semangat saya tetap sama seperti dulu.

"Selama ini pun saya sentiasa bersemangat dan dahagakan kejuaraan kerana badminton adalah periuk nasi saya dan harap rezeki selepas kahwin akan bertambah dan mungkin menghadirkan lebih banyak kejayaan. Sasaran saya tahun ini adalah cuba memburu sekurang-kurangnya dua gelaran antarabangsa."

Roslin, 34, akan menamatkan zaman bujangnya dengan gadis yang berasal dari Puchong, Selangor, Faizah Muhammad yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz51II0FgeO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Roslin ketuai kemaraan separuh akhir

ARKIB : 13/09/2008
KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki negara, Mohd. Roslin Hashim mengetuai kemaraan empat wakil Malaysia ke separuh akhir badminton Terbuka Taiwan.

Roslin yang kemarau kejayaan sejak sekian lama mengejutkan pemain veteran China, Chen Hong 21-19, 16-21, 21-12 di suku akhir, semalam.

Beliau akan menentang pemain Vietnam, Tien Minh Nguyen di separuh akhir hari ini manakala satu lagi separuh akhir menyaksikan pertemuan pemain Indonesia, Simon Sontoso dan pemain Belanda, Eric Pang.

Malang bagi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Tsuen Seng yang disekat Simon 17-21, 15-21 dalam satu lagi suku akhir semalam.

Acara beregu lelaki pula menyaksikan dua wakil negara, Mohd. Razif Latif/Tan Wee Kiong dan Hoon Thien How/Ong Soon Hock mara ke separuh akhir.

Di suku akhir semalam, Mohd. Razif/Wee Kiong menewaskan beregu Singapura, Hendra Wijaya/Uki Kasah Yoga 21-18, 21-16.

Manakala Thien How/Soon Hock menewaskan beregu Indonesia, Hendra Gunawan/Joko Riyadi 16-21, 21-15, 26-24.

Di separuh akhir hari ini, mereka akan menentang beregu pilihan pertama, Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark manakala Thien How/Soon Hock menentang beregu pilihan kedua, Tony Gunawan/Chandra Wijaya dari Indonesia.

Seorang lagi pemain negara yang mara ke separuh akhir ialah Lydia Cheah dalam acara perseorangan wanita selepas menumpaskan pemain Jepun, Mayu Sekiya 21-18, 17-21, 21-13 di suku akhir.

Lydia akan menentang pemain tuan rumah, Chin Yi Ju di separuh akhir hari ini manakala satu lagi separuh akhir mempertemukan Pia Zabedah dari Indonesia dengan pemain India, Saina Nehwal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50OQsChXt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

Nusa Mahsuri lepaskan Hafiz Hashim ke BAM

ARKIB : 11/07/2008
KUALA LUMPUR - Masa depan Muhammad Hafiz Hashim kini terletak di tangannya sendiri, selepas Nusa Mahsuri akhirnya menyelesaikan 'kemelut pemain itu dengan kesediaan melepaskannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Nusa, yang sebelum ini agak berkeras dengan juara Seluruh England 2003 itu akhirnya dengan rela hati melepaskan pemain yang telah dibimbingnya sejak sembilan tahun lalu kerana percaya, Hafiz diserahkan 'ke tangan yang lebih baik'.

Nada Nusa Mahsuri itu jauh berbeza berbanding ketika Hafiz menyuarakan hasrat untuk menyertai kelab profesional KLRC, lima bulan lalu, di mana mereka langsung tidak berkompromi dan enggan melepaskan pemain tersebut.

Presiden Nusa Mahsuri, Jalani Sidek berkata, beliau sudah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepada BAM sebelum menyerahkan Hafiz secara rasmi.

Bagaimanapun tegas Jalani, tiada pampasan dituntut daripada badan badminton kebangsaan itu kerana BAM dan Nusa sudah lama bekerjasama, malah punya satu matlamat yang sama - membangunkan badminton negara.

"Kami hanya mahu yang terbaik buat Hafiz dan badminton negara. Kalau dengan menyertai BAM boleh bantu menyelesaikan masalah dan memulihkan karier Hafiz, maka kami harus memberi sokongan.

"Nusa Mahsuri memang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada BAM dan kerjasama itu bermula sejak kami membenarkan Misbun dan Rashid menjadi jurulatih kebangsaan, setakat ini saya sangat gembira dengan ikatan yang terjalin ini.

"Sekarang, urusan di antara Nusa Mahsuri dan BAM hampir selesai, kini tinggal BAM dan Hafiz pula berbincang mengenai terma mereka dan selepas itu barulah kontrak ditandatangani,'' kata Jalani.

Bagaimanapun Jalani mengingatkan Hafiz, dengan memilih BAM sebagai badan naungan yang baru, itu bermakna dia perlu menggandakan usahanya dan tidak sebebas dulu kerana persaingan yang bakal dihadapi kini jauh lebih hebat.

Tegasnya, badan badminton negara itu punya ramai pemain yang perlu dijaga, justeru Hafiz mesti menunjukkan prestasi lebih meyakinkan untuk dikekalkan dalam skuad elit kebangsan dan membawa cabaran pada kejohanan utama.

Melihat perkembangan semasa pemain tinggi lampai itu, Jalani mengakui, Hafiz sememangnya perlu bekerja lebih daripada 110 peratus untuk menempatkan diri di kalangan pemain utama dan harus mula melakar keputusan yang baik bermula pada 2009.

"Dua kekalahan Hafiz kepada pemain Jepun (Kenichi Tago, Terbuka Indonesia dan Yuichi Ikeda di Terbuka Thailand) memburukkan lagi imej Hafiz, jadi dia kena bangkit untuk membuktikan mengapa dia berhak berada dalam skuad kebangsaan.

"Secara peribadi, saya yakin Hafiz sebenarnya mampu mengembalikan zaman kegemilangannya. Dia ada semua yang diperlukan untuk menjadi juara, skil, permainan dan bakat, cuma dia perlu memperbaiki stamina dan fizikal,'' kata Jalani lagi.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zjkhlMRA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Hafiz hadapi laluan sukar Seluruh England



ARKIB : 04/03/2008
KUALA LUMPUR – Berdepan lawan sukar seawal pusingan pertama menyukarkan juara edisi 2003, Muhammad Hafiz Hashim untuk ‘memasang impian’ melangkah jauh di kejohanan badminton Seluruh England di Birmingham, England yang bermula hari ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pemain berusia 26 tahun itu diundi menentang pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai dari China di pusingan pertama esok. Sebelum ini, Hafiz tewas dalam dua pertemuan dengan Chunlai.

Undian malang itu turut menyempitkan lagi peluang Hafiz untuk meraih sebanyak mata yang mungkin bagi melayakkan dia ke Olimpik Beijing.

Ini penting kerana, Hafiz perlu mengutip sebanyak mata mungkin sehingga akhir April ini untuk layak ke Olimpik Beijing Ogos depan kerana Seluruh England adalah peluang terakhir yang mampu menjelmakan impian ke temasya berkenaan jika dia mencatat keputusan terbaik.

Sekalipun jika Hafiz melepasi cabaran Chunlai esok, laluannya tetap sukar kerana menantinya di pusingan kedua adalah juara Terbuka Korea, Lee Hyun Il dari Korea Selatan atau pemain nombor sembilan dunia, Chen Yu dari China.

Jika Hafiz ke suku akhir, dia mungkin berdepan jaguh Denmark, Peter Gade sebelum pemain nombor satu dunia, Lin Dan di separuh akhir.

Namun jika sentuhan 2003 mampu dijelmakan oleh bekas Juara Seluruh England ini, di mana ketika itu dia tidak diletakkan sebagai pilihan juara, Hafiz mampu mencerahkan peluang layak ke Olimpik Beijing.

Apa pun, undian kali ini sedikit melegakan jaguh negara, pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei yang dijangka hanya akan mula merasai bahang sebenar kejohanan pada peringkat suku akhir apabila bertemu juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Chong Wei, pilihan kedua kejohanan mendapat undian mudah apabila diundi menentang rakan senegara, Sairol Amar Ayob di pusingan pertama sebelum menentang Andrew Smith dari England pada pusingan berikutnya.

Seorang lagi pemain negara, Wong Choong Hann turut mendapat undian mudah apabila menentang Wacha Przemyslaw dari Poland di pusingan pertama, sebelum dijangka bertemu pemain nombor empat dunia, Chen Jin pada pusingan kedua.

Penyandang juara, Lin Dan dari China diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan dan menyasarkan kejuaraan hatrik kali ini.

Dalam beregu lelaki, juara bertahan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara sekurang- kurangnya ke suku akhir.

Bagaimanapun dengan prestasi yang turun naik akhir-akhir ini, beregu nombor tiga dunia itu mampu berdepan kesukaran jika bertemu pasangan Denmark, Jens Eriksen- Martin Lundgaard Hansen atau Lars Paaske-Jonas Rasmussen di suku akhir.

Kiet Keat-Boon Heong, yang terkandas pada pusingan kedua Terbuka Malaysia Januari lalu, bakal bertemu pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China jika melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Seluruh England tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ymx6En6L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 November 2017

Roslin tewas di Jerman



ARKIB : 02/03/2008
KUALA LUMPUR - Hasrat pemain perseorangan badminton lelaki negara, Roslin Hashim untuk mara ke separuh akhir Terbuka Jerman dan pada masa yang sama memperbaiki ranking dunia untuk berpeluang ke Sukan Olimpik, berkecai apabila tewas kepada pemain Korea, Lee Hyun Il, semalam.

Pemain kelahiran Kelantan dari kelab Nusa Mahsuri itu tewas 15-21, 19-21 dalam masa 40 minit pada suku akhir kejohanan di Dewan Sukan RWE Rhein-Ruhr, Mulheim yang menyediakan hadiah bernilai AS$80,000 (RM256,079).

Selaku pilihan ketujuh kejohanan, Roslin bukan tandingan lawan yang juga pilihan kedua dan juara bertahan.

Hyun Il akan menentang pemain China, Gong Weijie dalam separuh akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ykpcx6qs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Roslin wakil tunggal ke pusingan kedua Terbuka Jerman



ARKIB : 28/02/2008

KUALA LUMPUR – Dua pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob menyempitkan peluang untuk bersaing merebut tiket ke Sukan Olimpik Beijing selepas tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Jerman, semalam.

Pemain veteran Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim bagaimanapun masih berpeluang untuk memburu tiket ke temasya 8-24 Ogos itu apabila muncul perseorangan tunggal Malaysia layak ke pusingan kedua.

Semalam, Tsuen Seng dan Sairol gagal menepati status mereka selaku pemain pilihan apabila tewas kepada lawan kurang ternama di pusingan awal.

Tsuen Seng, pilihan keempat kejohanan disingkirkan oleh pemain Belanda, Eric Pang 17-21, 22-20, 21-12 manakala Sairol, pilihan ke-10 kalah 13-21, 21-13, 21-10 kepada Jan O. Joergensen dari Denmark.

Roslin berjaya mengelak daripada turut mengalami kejutan apabila mudah menundukkan seorang lagi pemain Denmark, Kaspar Ipsen 21-12, 21-7.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang turun sebagai pilihan ketujuh kini akan berdepan pemain muda Indonesia, Andreas Adityawarman.

Jika berjaya mengetepikan Andreas, Roslin dijangka berdepan pilihan ke-11, Joachim Persson dari Denmark pada pusingan ketiga.

Pada ketika pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei sudah pasti layak ke Sukan Olimpik, slot kedua perseorangan lelaki kini masih terbuka.

Jaguh veteran, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim menjadi calon utama untuk merebut slot tersebut, namun tidak mustahil Roslin juga mampu meletakkan dirinya sebagai calon utama andai berjaya pada Terbuka Jerman.

Roslin kini menduduki ranking ke-23 manakala Hafiz ke-24. Choong Hann dan Tsuen Seng masing-masing berada pada ranking ke-16 dan ke-18 dunia dan Sairol jauh di kedudukan ke-29.

Selepas berakhirnya Terbuka Jerman, dua kejohanan Siri Super menanti pemain negara untuk mengukuhkan kedudukan mereka iaitu Seluruh England (4-9 Mac) dan Terbuka Switzerland (11-16 Mac).

Sekali pun gagal ke Sukan Olimpik, pencapaian terbaik pada baki kejohanan sehingga akhir April ini akan dijadikan penilaian untuk memilih pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Piala Thomas di Jakarta, Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yhm70fUi
© Utusan Melayu (M) Bhd