Selasa, 28 November 2017

Nusa Mahsuri lepaskan Hafiz Hashim ke BAM

ARKIB : 11/07/2008
KUALA LUMPUR - Masa depan Muhammad Hafiz Hashim kini terletak di tangannya sendiri, selepas Nusa Mahsuri akhirnya menyelesaikan 'kemelut pemain itu dengan kesediaan melepaskannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Nusa, yang sebelum ini agak berkeras dengan juara Seluruh England 2003 itu akhirnya dengan rela hati melepaskan pemain yang telah dibimbingnya sejak sembilan tahun lalu kerana percaya, Hafiz diserahkan 'ke tangan yang lebih baik'.

Nada Nusa Mahsuri itu jauh berbeza berbanding ketika Hafiz menyuarakan hasrat untuk menyertai kelab profesional KLRC, lima bulan lalu, di mana mereka langsung tidak berkompromi dan enggan melepaskan pemain tersebut.

Presiden Nusa Mahsuri, Jalani Sidek berkata, beliau sudah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepada BAM sebelum menyerahkan Hafiz secara rasmi.

Bagaimanapun tegas Jalani, tiada pampasan dituntut daripada badan badminton kebangsaan itu kerana BAM dan Nusa sudah lama bekerjasama, malah punya satu matlamat yang sama - membangunkan badminton negara.

"Kami hanya mahu yang terbaik buat Hafiz dan badminton negara. Kalau dengan menyertai BAM boleh bantu menyelesaikan masalah dan memulihkan karier Hafiz, maka kami harus memberi sokongan.

"Nusa Mahsuri memang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada BAM dan kerjasama itu bermula sejak kami membenarkan Misbun dan Rashid menjadi jurulatih kebangsaan, setakat ini saya sangat gembira dengan ikatan yang terjalin ini.

"Sekarang, urusan di antara Nusa Mahsuri dan BAM hampir selesai, kini tinggal BAM dan Hafiz pula berbincang mengenai terma mereka dan selepas itu barulah kontrak ditandatangani,'' kata Jalani.

Bagaimanapun Jalani mengingatkan Hafiz, dengan memilih BAM sebagai badan naungan yang baru, itu bermakna dia perlu menggandakan usahanya dan tidak sebebas dulu kerana persaingan yang bakal dihadapi kini jauh lebih hebat.

Tegasnya, badan badminton negara itu punya ramai pemain yang perlu dijaga, justeru Hafiz mesti menunjukkan prestasi lebih meyakinkan untuk dikekalkan dalam skuad elit kebangsan dan membawa cabaran pada kejohanan utama.

Melihat perkembangan semasa pemain tinggi lampai itu, Jalani mengakui, Hafiz sememangnya perlu bekerja lebih daripada 110 peratus untuk menempatkan diri di kalangan pemain utama dan harus mula melakar keputusan yang baik bermula pada 2009.

"Dua kekalahan Hafiz kepada pemain Jepun (Kenichi Tago, Terbuka Indonesia dan Yuichi Ikeda di Terbuka Thailand) memburukkan lagi imej Hafiz, jadi dia kena bangkit untuk membuktikan mengapa dia berhak berada dalam skuad kebangsaan.

"Secara peribadi, saya yakin Hafiz sebenarnya mampu mengembalikan zaman kegemilangannya. Dia ada semua yang diperlukan untuk menjadi juara, skil, permainan dan bakat, cuma dia perlu memperbaiki stamina dan fizikal,'' kata Jalani lagi.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zjkhlMRA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Hafiz hadapi laluan sukar Seluruh England



ARKIB : 04/03/2008
KUALA LUMPUR – Berdepan lawan sukar seawal pusingan pertama menyukarkan juara edisi 2003, Muhammad Hafiz Hashim untuk ‘memasang impian’ melangkah jauh di kejohanan badminton Seluruh England di Birmingham, England yang bermula hari ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Pemain berusia 26 tahun itu diundi menentang pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai dari China di pusingan pertama esok. Sebelum ini, Hafiz tewas dalam dua pertemuan dengan Chunlai.

Undian malang itu turut menyempitkan lagi peluang Hafiz untuk meraih sebanyak mata yang mungkin bagi melayakkan dia ke Olimpik Beijing.

Ini penting kerana, Hafiz perlu mengutip sebanyak mata mungkin sehingga akhir April ini untuk layak ke Olimpik Beijing Ogos depan kerana Seluruh England adalah peluang terakhir yang mampu menjelmakan impian ke temasya berkenaan jika dia mencatat keputusan terbaik.

Sekalipun jika Hafiz melepasi cabaran Chunlai esok, laluannya tetap sukar kerana menantinya di pusingan kedua adalah juara Terbuka Korea, Lee Hyun Il dari Korea Selatan atau pemain nombor sembilan dunia, Chen Yu dari China.

Jika Hafiz ke suku akhir, dia mungkin berdepan jaguh Denmark, Peter Gade sebelum pemain nombor satu dunia, Lin Dan di separuh akhir.

Namun jika sentuhan 2003 mampu dijelmakan oleh bekas Juara Seluruh England ini, di mana ketika itu dia tidak diletakkan sebagai pilihan juara, Hafiz mampu mencerahkan peluang layak ke Olimpik Beijing.

Apa pun, undian kali ini sedikit melegakan jaguh negara, pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei yang dijangka hanya akan mula merasai bahang sebenar kejohanan pada peringkat suku akhir apabila bertemu juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Chong Wei, pilihan kedua kejohanan mendapat undian mudah apabila diundi menentang rakan senegara, Sairol Amar Ayob di pusingan pertama sebelum menentang Andrew Smith dari England pada pusingan berikutnya.

Seorang lagi pemain negara, Wong Choong Hann turut mendapat undian mudah apabila menentang Wacha Przemyslaw dari Poland di pusingan pertama, sebelum dijangka bertemu pemain nombor empat dunia, Chen Jin pada pusingan kedua.

Penyandang juara, Lin Dan dari China diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan dan menyasarkan kejuaraan hatrik kali ini.

Dalam beregu lelaki, juara bertahan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara sekurang- kurangnya ke suku akhir.

Bagaimanapun dengan prestasi yang turun naik akhir-akhir ini, beregu nombor tiga dunia itu mampu berdepan kesukaran jika bertemu pasangan Denmark, Jens Eriksen- Martin Lundgaard Hansen atau Lars Paaske-Jonas Rasmussen di suku akhir.

Kiet Keat-Boon Heong, yang terkandas pada pusingan kedua Terbuka Malaysia Januari lalu, bakal bertemu pasangan nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China jika melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Seluruh England tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ymx6En6L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 November 2017

Roslin tewas di Jerman



ARKIB : 02/03/2008
KUALA LUMPUR - Hasrat pemain perseorangan badminton lelaki negara, Roslin Hashim untuk mara ke separuh akhir Terbuka Jerman dan pada masa yang sama memperbaiki ranking dunia untuk berpeluang ke Sukan Olimpik, berkecai apabila tewas kepada pemain Korea, Lee Hyun Il, semalam.

Pemain kelahiran Kelantan dari kelab Nusa Mahsuri itu tewas 15-21, 19-21 dalam masa 40 minit pada suku akhir kejohanan di Dewan Sukan RWE Rhein-Ruhr, Mulheim yang menyediakan hadiah bernilai AS$80,000 (RM256,079).

Selaku pilihan ketujuh kejohanan, Roslin bukan tandingan lawan yang juga pilihan kedua dan juara bertahan.

Hyun Il akan menentang pemain China, Gong Weijie dalam separuh akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ykpcx6qs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Roslin wakil tunggal ke pusingan kedua Terbuka Jerman



ARKIB : 28/02/2008

KUALA LUMPUR – Dua pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob menyempitkan peluang untuk bersaing merebut tiket ke Sukan Olimpik Beijing selepas tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Jerman, semalam.

Pemain veteran Nusa Mahsuri, Mohd. Roslin Hashim bagaimanapun masih berpeluang untuk memburu tiket ke temasya 8-24 Ogos itu apabila muncul perseorangan tunggal Malaysia layak ke pusingan kedua.

Semalam, Tsuen Seng dan Sairol gagal menepati status mereka selaku pemain pilihan apabila tewas kepada lawan kurang ternama di pusingan awal.

Tsuen Seng, pilihan keempat kejohanan disingkirkan oleh pemain Belanda, Eric Pang 17-21, 22-20, 21-12 manakala Sairol, pilihan ke-10 kalah 13-21, 21-13, 21-10 kepada Jan O. Joergensen dari Denmark.

Roslin berjaya mengelak daripada turut mengalami kejutan apabila mudah menundukkan seorang lagi pemain Denmark, Kaspar Ipsen 21-12, 21-7.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang turun sebagai pilihan ketujuh kini akan berdepan pemain muda Indonesia, Andreas Adityawarman.

Jika berjaya mengetepikan Andreas, Roslin dijangka berdepan pilihan ke-11, Joachim Persson dari Denmark pada pusingan ketiga.

Pada ketika pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei sudah pasti layak ke Sukan Olimpik, slot kedua perseorangan lelaki kini masih terbuka.

Jaguh veteran, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim menjadi calon utama untuk merebut slot tersebut, namun tidak mustahil Roslin juga mampu meletakkan dirinya sebagai calon utama andai berjaya pada Terbuka Jerman.

Roslin kini menduduki ranking ke-23 manakala Hafiz ke-24. Choong Hann dan Tsuen Seng masing-masing berada pada ranking ke-16 dan ke-18 dunia dan Sairol jauh di kedudukan ke-29.

Selepas berakhirnya Terbuka Jerman, dua kejohanan Siri Super menanti pemain negara untuk mengukuhkan kedudukan mereka iaitu Seluruh England (4-9 Mac) dan Terbuka Switzerland (11-16 Mac).

Sekali pun gagal ke Sukan Olimpik, pencapaian terbaik pada baki kejohanan sehingga akhir April ini akan dijadikan penilaian untuk memilih pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Piala Thomas di Jakarta, Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yhm70fUi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Beri saya peluang – Hafiz



 
ARKIB : 10/02/2008
MUHAMMAD HAFIZ HASHIM.

MUKADIMAH
TINDAKAN juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim meninggalkan kelab yang telah ‘mendewasakannya’, Nusa Mahsuri untuk bertukar angin ke kelab profesional, KLRC yang dinaungi oleh KLRC Berhad telah mengejutkan peminat badminton tanah air.

Hasrat Hafiz itu lebih banyak mengundang reaksi negatif berbanding positif, apatah lagi dia turut melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang didakwa tidak serius membantunya keluar daripada masalah kewangan yang membelenggu.

Mingguan Malaysia tidak layak untuk menghukum siapa yang salah atau benar, tetapi menerusi wartawan, NORZIE MOHD. KHASBI, Hafiz diberi ruang menjelaskan rasional di sebalik setiap tindakannya. Pada kami, dia yang gigih berlatih, dia yang jatuh dan bangun, dia

yang merasa sakit, maka hanya dialah orang yang paling layak bercerita tentang dirinya.

MINGGUAN: Bila sebut Hafiz orang akan ingat Nusa Mahsuri, bila sebut Nusa, orang ingat Hafiz, Hafiz dan Nusa ibarat satu ikatan keluarga.

Saya dewasa bersama Nusa Mahsuri kerana saya menyertai mereka sejak usia 17 tahun lagi. Saya tidak hanya berlatih bersama Nusa, malah tinggal di rumah jurulatih, Misbun Sidek (1999-2002) dan kemudian rumah Rashid Sidek (setahun).

Mengapa jadi begini ?

Mulanya memang mereka beritahu saya tidak akan dibayar tetapi lepas keluar dari rumah Rashid, saya mula berdikari. Selama ini makan, tempat tinggal ditanggung, jadi walau tidak diberi wang saya tidak terasa tetapi bila duduk sendiri, baru rasa susah nak bayar sewa rumah, minyak kereta ke tempat latihan. Saya ceritakan masalah ini, mereka janji nak tolong, namun ia hanya janji.

Apakah dari situ bermulanya masalah Hafiz dengan Nusa ?

Masalah duit memang sudah timbul sejak itu tetapi saya tidak kisah sangat. Namun, saya mula terasa hati selepas bonus saya ketika menjuarai Seluruh England (2003) hanya dibayar tiga tahun selepas kemenangan, itu pun selepas banyak kali saya bersuara. Ini (bonus) mereka janji, ada dalam kontrak dengan penaja, itu hak saya. Di sini sudah tiada kejujuran.

Tak kan kerana bonus saja Hafiz terasa hati, terus nak tinggalkan Nusa selepas sembilan tahun susah senang bersama?

Saya juga ada komitmen dan tanggungjawab. Semakin kita dewasa maka semakin dewasa jugalah keperluan kita. Mereka tak boleh layan saya seperti Hafiz yang sembilan tahun lalu, jadi bila saya bangkitkan tentang elaun bulanan ia patut diambil serius. Bila dah tidak ada respons, saya kenalah cari jalan untuk tolong diri saya sendiri, sebab yang rasa susah dan sakit itu saya. Bila saya ambil keputusan nak keluar, saya pula dianggap macam orang jahat.

Mengapa baru sekarang nak dedahkan semua ini, rasa macam tak kena sangat ketika Sukan Olimpik (8-24 Ogos) dah dekat?

Sebenarnya, tahun lepas lagi saya nak keluar. Kemuncak kekusutan saya tiba apabila elaun (MSN) pula dipotong pada Oktober 2006 iaitu selepas tamat program Sukan Asia. Saya cuba bertahan, kami berbincang, jumpa Datuk Zolkples (Embong, Ketua Pengarah MSN) dan Tan Sri Elyas Omar (Pesuruhjaya Sukan) tetapi tak ada penyelesaian.

Bukankah pertemuan dengan Datuk Zolkples yang diatur oleh Jalani Sidek (Presiden Nusa Mahsuri) telah menemui formula yang akan keluarkan Hafiz dari masalah ini?

Ada beberapa cadangan yang diberikan daripada pertemuan itu tetapi saya sendiri sudah tidak yakin. Mungkin terlalu lama berlarutan, jadi keadaan dah tak selesa lagi. Bila Datuk Zolkples kata, terpulang kepada saya untuk tentukan masa depan, jadi saya pun fikir, ya, memang terpulang kepada saya tentukan apa yang terbaik untuk diri saya.

Apa yang membuatkan Hafiz yakin masa depan Hafiz akan lebih terjamin di KLRC, kelab yang hingga kini belum mencatat kejayaan besar.

Pertama, mereka ada program latihan dan jurulatih yang meyakinkan, itu paling penting. Mungkin pemain mereka kurang berjaya tapi tak bermakna saya tidak boleh berjaya. Kedua, saya juga telah mendapatkan info daripada rakan-rakan di sana, setakat ini, KLRC tidak pernah sekali pun memungkiri kontrak atau janji mereka. Mereka ada skim gaji, insentif kemenangan dan semua itu tertulis secara hitam putih.

Sudah lihat terma kontrak yang bakal ditandatangani ? Macam mana program latihan, siapa jurulatih atau macam mana pembayaran elaun dibuat?

Kami sudah bercakap secara lisan tetapi kontrak atau terma memang belum ada, sebab itu saya belum tanda tangani apa-apa kontrak. Saya mungkin akan berlatih bersama Cheah Soon Kit atau Ong Beng Tiong, itu tidak pasti, tetapi saya sudah bersedia berdepan cabaran baru.

Ada yang mendakwa tindakan Hafiz ini dipengaruhi pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh?

Memang saya telah dipengaruhi tetapi bukan oleh individu, sebaliknya keadaan yang tidak lagi mengizinkan saya kekal di Nusa. Memang saya ada jurulatih yang amat baik (Misbun Sidek) tetapi saya sudah tidak selesa di situ, lagi pun karier saya sudah jatuh, jadi tak salah kalau saya mencari jalan untuk menyelamatkannya.

Baru-baru ini Hafiz ada keluarkan kenyataan tentang MSN, BAM dan Nusa yang didakwa tidak serius membantu menyelesaikan masalah Hafiz, tidak takut ke kenyataan itu akan memberi implikasi buruk, seperti menyempitkan peluang mewakili negara di masa akan datang?

Kata Datuk Zolkples, pemilihan pemain ke kejohanan utama adalah berdasarkan merit. Tidak kisah saya main dengan Nusa atau KLRC, kalau saya bagus saya akan dipilih, itu jaminan dia dan jaminan saya, walau di mana saya bermain, saya akan bekerja keras untuk merebut tempat dalam skuad negara.

Nama Hafiz sudah terlalu lama hilang daripada senarai pemenang kejuaraan utama sejak memenangi Seluruh England 2003 dan pingat emas Sukan Komanwel 2002. Pada usia mencecah 26 tahun, apakah anda yakin anda masih mampu bangkit?

Saya dah jumpa punca ‘penyakit’ saya. Selama ini, fikiran dan hati saya tidak ada di situ (gelanggang) kerana terlalu banyak perkara yang menganggu tetapi percayalah, bila semua selesai nanti, saya dapat memberi tumpuan 100 peratus kepada permainan dan kembali ke tahap yang lebih tinggi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yh8ncnAb
© Utusan Melayu (M) Bhd