ARKIB : 02/04/2005
BANGKOK - Muhd. Hafiz Hashim
muncul perseorangan tunggal Malaysia beraksi pada separuh akhir kejohanan
badminton Terbuka Thailand selepas abangnya, Muhd. Roslin Hashim terkandas di
suku akhir semalam.
Turut meneruskan cabaran negara
pada kejohanan tiga bintang itu adalah beregu veteran, Choong Tan Fook-Chew
Choon Eng dan Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif.
Manakala pasangan Chan Chong
Ming-Koo Kien Keat dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui pula masing-masing
tersingkir di suku akhir.
Juara Terbuka Switzerland dan
pilihan ketiga, Hafiz hampir pasti mengesahkan tiketnya ke Kejohanan Dunia di
Amerika Syarikat, Ogos ini selepas mengetepikan pilihan keenam, Bjoern Joppien
dari Jerman 15-9, 15-8 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 35 minit.
Menanti juara Seluruh England
2003 itu, yang beraksi pada separuh akhir ketiganya tahun ini adalah juara
Terbuka Jepun, Ronald Susilo dari Singapura. Ronald mara selepas mengejutkan
juara dunia dan pilihan kedua, Xia Xuanze dari China 10-15, 15-10, 15-6.
Hasrat untuk melihat pertemuan
Hafiz-Roslin di final tidak kesampaian apabila Roslin terpaksa akur kepada
juara bertahan dan jaguh tuan rumah, Boonsak Ponsana.
Roslin, 30, yang masih memburu
tiket Kejohanan Dunia mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama 15-8,
apabila tunduk 11-15, 9-15 pada dua set berikutnya dalam pertarungan yang
berlarutan sehingga satu jam 40 minit.
Sementara itu Tan Fook-Choon
Eng yang beraksi hambar dalam dua kejohanan terakhir - Seluruh England dan
Terbuka Jerman menghidupkan peluang untuk beraksi di Los Angeles selepas
menundukkan Tony Gunawan-Howard Bach dari Amerika Syarikat 15-13, 15-11.
Menanti mereka pada separuh
akhir adalah pasangan Korea Selatan, Jung Jae-sung-Lee Jae-jin yang
mengetepikan Chong Ming-Kien Keat 17-14, 15-13.
Taik Chai-Mohd. Zakry pula akan
menentang pilihan pertama, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark selepas
mengalahkan satu lagi beregu Korea, Ha Tae-kwon-Han Sang-hoon 15-12, 17-14.
Terdahulu, Paaske-Rasmussen menumpaskan Mohd. Fairuzizuan-Woon Fui 15-7, 15-10.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iL0SxbAt
© Utusan Melayu (M) Bhd