ARKIB : 21/02/2009
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Muhd. Roslin
Hashim tidak akan membenarkan penceraiannya merosakkan hajat besar untuk
menutup karier badminton dengan sekurang-sekurangnya satu kejuaraan, tahun ini.
Walaupun tidak menyatakan
kejohanan manakah yang amat diinginkan, namun pemain Nusa Mahsuri itu berkata,
dia mahu menutup kalendar 2009 dengan satu gelaran yang akan dikenang sebelum
menggantung raket.
Roslin, 34, mengumumkan hasrat
untuk bersara pada hujung tahun ini selepas majlis persandingannya di Puchong,
1 Februari lalu.
Meskipun tumpuannya ketika ini
terganggu dengan kisah penceraiannya yang sudah diketahui oleh umum, apatah
lagi ketika usia perkahwinan baru mencecah 12 hari, namun Roslin berkata,
keadaan itu tidak akan memberi tekanan.
"Saya tidak rasa tertekan
atau malu kerana semua orang sudah tahu kisah rumah tangga saya, sebaliknya
saya rasa lega kerana semua masalah sudah selesai dengan baik.
"Saya tidak anggap ia
(perkahwinan) satu kesilapan, sebaliknya saya terima qada dan qadar, mungkin
sampai di sini saja jodoh saya, dan hidup kena diteruskan.
"Badminton adalah periuk
nasi saya, walau apa sekali pun masalah yang saya hadapi, saya tidak boleh
mensia-siakan periuk nasi saya, apatah lagi 2009 merupakan tahun terakhir saya
sebagai pemain badminton.
"Saya akan bersara pada
akhir tahun ini dan jadi saya mahu menutup karier dengan satu kejayaan yang
akan dikenang, tidak kiralah ia kejohanan besar atau kecil, saya mahu
sekurang-kurangnya satu kejuaraan,'' ujar bekas juara Terbuka Jepun itu.
Roslin, yang menghuni ranking
ke-49 dunia melafazkan cerai ke atas isterinya, Faizah Mohamad pada 11 Februari
lalu, hanya 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari.
Begitupun dia enggan kisah
peribadinya terus diperkatakan, sebaliknya meminta agar tumpuan diberikan
kepada karier badminton dan persiapan menghadapi Terbuka India pada 24-29 Mac
ini.
"Dengan keadaan sekarang
ini, bagus juga saya tidak bertanding pada Seluruh England (3-8 Mac) dan
Terbuka Switzerland (10-16 Mac), sekurang-kurangnya saya ada lebih banyak masa
untuk persiapan Terbuka India.
"Sebenarnya saya tarik
diri pada kedua-dua kejohanan bukan kerana masalah peribadi, cuma saya kurang
bersedia daripada segi fizikal. Maklumlah, sejak beberapa bulan ini latihan
tidak cukup kerana saya sibuk dengan urusan perkahwinan.
"Tetapi sekarang, bila
jadi benda macam ini, saya fikir elok jugalah saya tidak pergi ke sana, fikiran
saya mungkin belum stabil tetapi percayalah saya akan bangkit dan mencari
keputusan terbaik di India serta kejohanan seterusnya,'' katanya lagi, yang bercadang
menjadi jurulatih selepas persaraan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51unYrAbT
© Utusan Melayu (M) Bhd