ARKIB : 09/06/2006
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz
Hashim dan bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman meneruskan cabaran
perseorangan Malaysia pada suku akhir badminton Terbuka Singapura semalam.
Bagaimanapun beregu senior,
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tumpas mengejut 12-21, 12-21 kepada pasangan
Singapura, Hendry Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya di pusingan kedua.
Cabaran beregu lelaki Malaysia
akan diteruskan oleh beregu utamanya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan
pasangan muda, Hoon Thien How-Tan Boon Heong.
Malaysia juga mempunyai satu
wakil dalam beregu wanita apabila pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui
mengalahkan Hwang Yu Mi-Kim Min Jung dari Korea Selatan 21-16, 21-13 untuk
bertemu Wei Yili-Zhang Yewen dari China.
Hafiz, 23, yang masih segar
dengan kejuaraan Terbuka Filipina minggu lalu mengetepikan jaguh muda
Indonesia, Simon Santoso 25-23, 21-15 pada pusingan ketiga.
Pilihan kelima itu, yang
terdahulu menundukkan Erwin Kehlhoffner dari Perancis 21-15, 21-14 pada
pusingan kedua kini akan bertemu pilihan keempat dari China, Chen Hong.
Ismail, 28, pula diheret
beraksi dalam perlawanan tiga set sebelum menyingkirkan pemain India, Chetan
Anand 21-18, 11-21, 21-15 di pusingan ketiga. Menantinya hari ini adalah jaguh
China, Bao Chunlai.
Sementara itu Chong Ming-Kien
Keat berhempas pulas sebelum mengetepikan kombinasi baru Indonesia, Rian
Sukmawan-Eng Hian 16-21, 21-18, 21-13 untuk berdepan satu lagi beregu
Indonesia, Flandy Limpele-Sigit Budiarto, hari ini.
Bekas juara remaja dunia, Hoon
Thien How-Tan Boon Heong pula akan menentang Jonas Rasmussen-Peter Steffensen
dari Denmark selepas meraih kemenangan percuma ke atas pilihan kelima, Xie
Zhongbo-Quo Zhendong dari China.
Naib juara Terbuka Filipina,
Mohd. Roslin Hashim terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas tumpas
11-21, 15-21 kepada jaguh Denmark, Kenneth Jonassen di pusingan kedua.
Turut tersingkir adalah tiga
pemain muda negara. Law Yew Thien kalah 14-21, 16-21 kepada Eric Pang dari
Belanda, Tan Chun Seang tumpas 21-23, 10-21 kepada Tien Minh Nguyen dari
Vietnam, manakala Lim tewas 11-21, 12-21 kepada Chen Yu dari China.
Cabaran perseorangan wanita
pula berakhir selepas Julia Wong kalah 21-15, 15-21, 20-21 kepada Kanako
Yonekura dari Jepun, manakala Ooi Sock Ai-Fong Chew Yen tewas 15-21, 15-21
kepada Brita Andersen-Mette Schjoldager dari Denmark dalam beregu wanita.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4lAawsxZ8
© Utusan Melayu (M) Bhd