ARKIB : 29/03/2009
KUALA LUMPUR - Pemain-pemain
negara meneruskan persembahan cemerlang apabila mengesahkan tiga daripada lima
aksi perlawanan akhir badminton Terbuka India selepas mengetepikan lawan
masing-masing pada separuh akhir, semalam.
Muhammad Hafiz Hashim mengetuai
cabaran pemain negara apabila mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki
selepas menewaskan pemain China, Chen Long 21-18, 19-21, 21-15.
Namun, hasrat Hafiz untuk
mencatat kejuaraan pertama sejak sekian lama berdepan laluan sukar apabila
menentang pilihan kedua kejohanan, Taufik Hidayat dalam perlawanan akhir hari
ini.
Taufik melangkah ke perlawanan
akhir selepas mudah melepasi tentangan pemain senegara Tommy Sugiarto 21-13,
21-11.
Malaysia turut mempunyai wakil
dalam acara perseorangan wanita apabila Julia Wong mengetepikan pemain
Singapura Zhang Bei-wen 19-21, 21-13, 21-15 dan akan menentang pemain Perancis,
Pi Hongyan di perlawanan akhir hari ini.
Beregu veteran negara, Choong Tan
Fook-Lee Wan Wah hanya memerlukan 24 minit untuk menyingkirkan pasangan
Indonesia Joko Riyadi-Candra Wijaya 21-6, 22-20 untuk ke final.
Pasangan pilihan pertama
kejohanan itu akan ditentang lawan dari Singapura Hendri Kurniawan
Saputra-Hendra Wijaya bagi penentuan juara beregu lelaki.
Hendri-Hendra melangkah ke akhir
selepas mudah menundukkan cabaran beregu Indonesia, Alvent Yulianto
Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-13, 21-15 dalam masa 24 minit.
Sementara itu, beregu campuran
negara Ong Jien Guo-Chong Sook Chin kandas pada separuh akhir apabila terpaksa
akur pada kehebatan pasangan tuan rumah, Diju Valiyaveetil-Jwala Gutta 21-11,
21-12.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6oJoM9V
© Utusan Melayu (M) Bhd