Ahad, 18 Mac 2018

Hafiz ketuai kemaraan ke babak akhir Terbuka India


ARKIB : 29/03/2009
KUALA LUMPUR - Pemain-pemain negara meneruskan persembahan cemerlang apabila mengesahkan tiga daripada lima aksi perlawanan akhir badminton Terbuka India selepas mengetepikan lawan masing-masing pada separuh akhir, semalam.

Muhammad Hafiz Hashim mengetuai cabaran pemain negara apabila mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain China, Chen Long 21-18, 19-21, 21-15.

Namun, hasrat Hafiz untuk mencatat kejuaraan pertama sejak sekian lama berdepan laluan sukar apabila menentang pilihan kedua kejohanan, Taufik Hidayat dalam perlawanan akhir hari ini.

Taufik melangkah ke perlawanan akhir selepas mudah melepasi tentangan pemain senegara Tommy Sugiarto 21-13, 21-11.

Malaysia turut mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita apabila Julia Wong mengetepikan pemain Singapura Zhang Bei-wen 19-21, 21-13, 21-15 dan akan menentang pemain Perancis, Pi Hongyan di perlawanan akhir hari ini.

Beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah hanya memerlukan 24 minit untuk menyingkirkan pasangan Indonesia Joko Riyadi-Candra Wijaya 21-6, 22-20 untuk ke final.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu akan ditentang lawan dari Singapura Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya bagi penentuan juara beregu lelaki.

Hendri-Hendra melangkah ke akhir selepas mudah menundukkan cabaran beregu Indonesia, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-13, 21-15 dalam masa 24 minit.

Sementara itu, beregu campuran negara Ong Jien Guo-Chong Sook Chin kandas pada separuh akhir apabila terpaksa akur pada kehebatan pasangan tuan rumah, Diju Valiyaveetil-Jwala Gutta 21-11, 21-12.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6oJoM9V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz ketuai kemaraan separuh akhir


ARKIB : 28/03/2009
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim (gambar) mengetuai cabaran empat wakil negara yang layak ke separuh akhir badminton Terbuka India hari ini.

Pada suku akhir semalam, Hafiz yang diletakkan sebagai pilihan ke-10 kejohanan menewaskan pilihan kelima dari Indonesia, Andre Kurniawan Tedjono 21-18 14-21 21-16 dalam masa 52 minit.

Pemain kelahiran Kelantan yang sudah lama tidak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, berpeluang mengakhiri kemarau itu jika dapat mengatasi pemain China, Chen Long di separuh akhir hari ini.

Chen Long yang sebelum ini menewaskan pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di pusingan pertama mara selepas menewaskan seorang lagi pemain negara, Lee Tsuen Seng 21-15, 21-8.

Satu lagi separuh akhir akan mempertemukan pemain Indonesia, Taufik Hidayat dengan rakan senegara, Tommy Sugiarto yang juga mara selepas menewaskan pemain Malaysia, Kuan Beng Hong dan Tan Chun Seang.

Dalam pada itu, mengiringi Hafiz ke separuh akhir ialah pemain perseorangan wanita negara, Julia Wong yang menewaskan pemain tuan rumah, Saina Nehwal 12-21, 21-13, 21-18 dalam masa 55 minit.

Julia akan bertemu pemain Singapura, Zhang Bei-wen manakala Pi Hongyan dari Perancis menentang Yu Hirayama dari Jepun.

Hirayama mara selepas menewaskan pemain perseorangan nombor satu wanita negara, Wong Mew Choo 21-17, 21-16.

Dua lagi wakil negara yang layak ke separuh akhir hari ini ialah beregu veteran lelaki, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah dan beregu campuran, Ong Jien Guo-Chong Sook Chin.

Tan Fook-Wan Wah menang ke atas beregu China Tian Li-Shen Ye 21-13, 21-8 manakala Jien Guo-Sook Chin menang ke atas beregu Indonesia, Muhammad Rijal-Debby Susanto 21-19, 21-19.

Di separuh akhir nanti, Jien Guo-Sook Chin akan menentang beregu India, Diju Valiyaveetil-Jwala Gutta manakala Tan Fook-Wan Wah akan menentang beregu Indonesia, Joko Riyadi-Candra Wijaya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5A6kIFBYG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz berdebar sebelum mara


ARKIB : 27/03/2009
KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim diheret dalam pertarungan mendebarkan sebelum menewaskan pemain China, Zhou Wenlong untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India, semalam.

Hafiz yang mencari keputusan terbaik di Hyderabad untuk menyelamatkan kariernya menumpaskan Wenlong 21-15, 11-21, 21-16 untuk bertemu pemain muda Indonesia, Andre Kurniawan Tedjono, yang menewaskan pemain pelapis negara, Chan Kwong Beng 21-18, 21-18 dalam satu lagi saingan.

Ratu badminton negara, Wong Mew Choo yang beraksi dalam kejohanan pertamanya selepas tiga bulan berehat akibat kecederaan lutut, turut mara ke suku akhir, mengetuai dua lagi pemain wanita, Julia Wong dan Lydia Cheah.

Mew Choo bekerja keras untuk menewaskan pemain Hong Kong, Mong Kwan Yi 21-11, 14-21, 21-18 untuk bertemu Yu Hirayama dari Jepun, manakala Julia mudah menewaskan pemain tuan rumah, Ashwini Ponnappa 21-16, 21-6 dan akan berdepan pilihan kedua, Saina Nehwal, juga dari India, hari ini.

Pemain berusia 19 tahun, Lydia pula mengetepikan pemain Jepun, Uchida Shizuka 21-23, 21-17, 21-6 untuk bertemu pencabar dari Singapura, Zhang Beiwen pada suku akhir.

Cabaran Malaysia di suku akhir kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$120,000 (RM435,00) itu turut diteruskan Lee Tsuen Seng, Kuan Beng Hong dan pemain pelapis, Tan Chun Seang.

Tsuen Seng menumpaskan rakan senegara, Muhd. Roslin Hashim 21-8, 21-15 untuk bertemu pemain China yang telah mengejutkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei di pusingan pertama, Chen Long.

Beng Hong pula bakal berdepan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia selepas menewaskan pemain China, Qiu Yanbo 21-9, 21-19, manakala Chun Seang menumpaskan jaguh tuan rumah, Anup Sridhar 9-21, 21-19, 21-18 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia, Tommy Sugiarto.

Malaysia juga mempunyai wakil di suku akhir beregu campuran apabila pasangan muda, Ong Jien Guo-Chong Sook Chin menewaskan beregu Singapura, Hendra Wijaya-Li Yujia 14-21, 24-22, 21-17.

Dalam beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mengetuai kemaraan lima pasangan negara ke pusingan kedua bersama Goh Wei Shem-Ong Jien Guo, Hoon Thien How-Lin Woon Fui, Khoo Chung Chiat-Ong Soon Hock dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5A6ffAH3E
© Utusan Melayu (M) Bhd