Jumaat, 4 Ogos 2017

Roslin Hashim naib juara Terbuka Korea

ARKIB : 28/08/2006
KUALA LUMPUR – Hajat pemain veteran negara, Mohd. Roslin Hashim untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama dalam tempoh lima tahun tidak kesampaian apabila kecundang kepada jaguh muda China, Bao Chunlai pada perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Korea, semalam.

Roslin, 31, yang mengejutkan pilihan pertama dan rakan senegara, Lee Chong Wei pada pusingan kedua, selain menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Athens 2004, Shon Seung-mo dari Korea di separuh akhir tewas 18-21, 16-21 dalam masa 28 minit.

Kekalahan tersebut bukan saja melebarkan rekod tanpa kalah Chunlai ke atas jaguh Nusa Mahsuri itu, malah melebarkan kemarau tanpa kejuaraan yang dialami Roslin sejak 2001.

Kemenangan terakhir Roslin adalah merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2001, selain muncul juara Terbuka Jepun dan Switzerland 2001, tahun yang menyaksikan dia pernah menduduki ranking nombor satu dunia selama dua minggu.

Bagi Chunlai, ini merupakan kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini, sekaligus menjadikan pemain itu sebagai antara pilihan utama apabila turun beraksi pada Kejohanan Dunia di Madrid, bulan depan.

Sementara itu kombinasi pemain veteran, Tony Gunawan-Candra Wijaya terbukti masih berbisa apabila menjuarai acara beregu lelaki selepas mengecewakan gandingan tuan rumah, Lee Jae Jing-Hwang Ji Man 21-18, 21-18.

Tony, yang juga penyandang juara dunia bersama Howard Bach beraksi di bawah bendera Amerika Syarikat, manakala Candra mewakili Indonesia.

Seperti yang dijangkakan, China mengekalkan dominasi mereka dalam saingan wanita apabila menjuarai acara perseorangan dan beregu.

Juara Terbuka Thailand, Lu Lan mengalahkan rakan senegara dan pemain nombor lapan dunia, Zhu Lin 21-18, 21-11 untuk muncul juara perseorangan.

Pilihan pertama, Yang Wei-Zhang Jiewen pula tidak menghadapi masalah untuk menundukkan pasangan Indonesia, Jo Novita-Gresya Polii 21-10 21-11 dalam acara beregu.

Indonesia pula membawa pulang kejuaraan beregu campuran menerusi pasangan Nova Widianto-Lilyana Natsir yang menewaskan beregu Denmark, Jens Eriksen-Mette Schjoldager 23-21, 21-18.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4om4aIlFc 

Selasa, 1 Ogos 2017

Roslin ke babak akhir


 

ARKIB : 27/08/2006
Roslin ke babak akhir
ROSLIN HASHIM.

KUALA LUMPUR – Pemain veteran negara, Mohd. Roslin Hashim (gambar) melayakkan diri ke final keduanya tahun ini apabila menundukkan jaguh tuan rumah, Shon Seung-mo pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Korea, semalam.

Bagaimanapun hasrat perseorangan wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo untuk meneruskan siri kejutan pada kejohanan bernilai AS$300,000 (RM1.1 juta) itu tidak kesampaian apabila kecundang 13-21, 16-21 kepada pemain nombor lapan dunia, Zhu Lin dari China.

Roslin, yang kini menjadi antara calon terbaik untuk membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia di Doha, dipaksa bekerja keras selama satu jam 15 minit sebelum menang 17-21, 21-19, 21-11 ke atas pemenang pingat perak Olimpik 2004, Seung-mo.

Roslin, 31, yang mengetepikan pilihan pertama dan rakan senegaranya, Lee Chong Wei pada pusingan kedua kini akan berdepan jaguh China, Bao Chunlai, hari ini.

Chunlai, pilihan ketiga mara setelah mengecewakan pemain nombor satu tuan rumah, Lee Hyun Il 21-19, 21-7 dalam satu lagi separuh akhir.

Selepas diketepikan daripada skuad ke Piala Thomas di Jepun, April lalu, kebangkitan yang dipamerkan Roslin pada Terbuka Korea diharap akan membantunya mendapat tempat ke Sukan Asia.

Ketika ini, hanya Chong Wei dan Hafiz sudah menjamin tiketnya ke temasya 1-15 Disember itu selepas kedudukan pemain veteran, Wong Choong Hann dianggap samar kerana dia baru pulih daripada kecederaan buku lali, manakala pemain muda, Kuan Beng Hong mempamerkan prestasi yang tidak menentu akhir-akhir ini.

Bagi Roslin, ini merupakan final kedua pada kejohanan antarabangsa tahun ini selepas tewas kepada adiknya, Muhammad Hafiz Hashim pada perlawanan akhir Terbuka Filipina, Mei lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4oUpDAwRY

© Utusan Melayu (M) Bhd